Monday, October 17, 2011

90 PERATUS KANAK-KANAK KETAGIH LAYARI INTERNET


layari-internet

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan remaja di negara ini dilaporkan melayari internet pada purata 19 jam seminggu, sehingga menyebabkan mereka terdedah dengan pengalaman negatif menerusi penggunaan teknologi itu termasuk buli, penipuan identiti dan

pornografi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata situasi itu mewakili kira-kira 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak atau sembilan daripada 10 daripada mereka berusia lima hingga 18 tahun di negara ini yang dilaporkan terdedah dengan gejala negatif dunia siber, sekali gus mampu mempengaruhi emosi mereka.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan merangka satu pelan strategik merangkumi kajian sama ada perlunya undang-undang atau polisi untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa kesan negatif internet.

Data diperoleh daripada Norton Online Family Report 2010 juga melaporkan hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa dilayari anak mereka dalam internet.

Kementerian akan memimpin pihak berkepentingan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity dan DIGI mengolah pelan strategik bagi memberi perlindungan kepada golongan sasar kerana ini amat berbahaya dan sejajar dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang dipersetujui kerajaan pada 2009.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri.

Shahrizat berkata, selain penekanan aspek perundangan, kementerian melalui pelan strategik juga akan turun padang bagi menganjurkan program advokasi dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi pengetahuan kepada ibu bapa mengenai situasi berkenaan.

Katanya, rangka kerja pelan strategik itu rentetan persetujuan kerajaan supaya negara menyertai ‘Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the Sale of Children, Child Prostitution and Child Pornography, September lalu. Jadi, dengan pelancaran buku ini, ia permulaan bagi pelan strategik itu sebelum mereka melakukannya secara menyeluruh.

Sementara itu, Husin berkata, CuberSecurity menerima aduan 11,930 insiden membabitkan jenayah siber sepanjang tahun ini sehingga September lalu yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999.

Beliau berkata, berdasarkan Statistik Insiden Keselamatan Siber, bilangan itu melonjak sehingga 130 peratus berbanding jumlah insiden pada tahun lalu, iaitu hanya 5,181.

Katanya, jenayah siber yang dilaporkan merangkumi penipuan (4,175), spam (3,452), pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), cubaan pencerobohan (525), gangguan siber (354), kelemahan laporan (87), gangguan perkhidmatan (77) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).

Disunting Daripada Berita Harian

SYOR WUJUD WEO UNTUK TANGANI ALAM SEKITAR


pbb

KUALA LUMPUR: Malaysia semalam mencadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan Pertubuhan Alam Sekitar Sedunia (WEO) bagi memacu usaha global untuk alam sekitar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata cadangan penubuhan badan alam sekitar itu perlu bagi memudahkan dan membantu negara anggota memenuhi komitmen hasil daripada persetujuan bersama mereka.

Katanya, hanya melalui penambahbaikan besar sistem urus tadbir, membolehkan dunia menangani cabaran alam sekitar yang mapan. Ia hampir mustahil untuk negara membangun mengambil bahagian secara bermakna. Negara yang boleh menampung sistem berkenaan hanyalah yang kaya sementara negara yang membangun dinafikan haknya.

Badan baru seperti WEO boleh membantu penyertaan negara membangun dengan cara yang lebih realistik dan bermakna.

Teks ucapan Najib dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Perdana Menteri berkata, sejak beberapa tahun lalu, masyarakat antarabangsa menerima ratusan perjanjian alam sekitar (MEA) pelbagai hala, semuanya dengan sekretariat dan pentadbiran masing-masing.

Antara 1992 hingga 2007, menerusi 18 MEA besar saja, 540 mesyuarat diadakan yang menghasilkan lebih 5,000 keputusan yang sepatutnya diambil tindakan oleh negara yang terbabit, katanya.

Najib berkata, kongres di Brazil dari 4 hingga 6 Jun tahun depan, akan memberi peluang yang kena pada masanya bagi meneliti norma dan prinsip keadilan, urus tadbir dan undang-undang kemapanan alam sekitar dan kaitan antaranya.

Beliau berkata, kongres itu perlu menyediakan peluang untuk mengambil keputusan terhadap langkah kepada evolusi dan pelaksanaan norma dan prinsip berkenaan, yang akan menyediakan cara menangani cabaran kemapanan abad ke-21.

Najib berkata, peserta mesyuarat persediaan itu akan berpeluang menyampaikan mesej jelas bagaimana mereka boleh bergerak pada pelbagai peringkat urus tadbir alam sekitar antarabangsa dengan membawa perspektif baru untuk dibahaskan.

Menurut Najib, mesyuarat persediaan ini adalah penting kerana ia akan memberi peluang untuk meletak asas kepada perbincangan yang akan dibuat di Kongres Sedunia. Kongres Sedunia adalah peluang unik untuk dilibatkan perbahasan mengenai urus tadbir Rio+20 dan menjadi peserta aktif, terutama untuk negara membangun yang cadangannya menyamai keperluan kita untuk pembangunan.

Pengarah Bahagian Undang-Undang Alam Sekitar dan Konvensyen Program Alam Sekitar PBB, Bakary Kanter, berkata cadangan Perdana Menteri ke arah kelestarian alam sekitar adalah langkah besar untuk alam sekitar global.

Ini pertama kali seorang pemimpin menyatakan pandangan maju mengenai WEO. Perdana Menteri memahami bagaimana alam sekitar adalah penting kepada masa depan negara ini dan dunia.

Disunting Daripada Berita Harian