Thursday, December 22, 2011

TELAGA MINYAK BARU DITEMUI DI SABAH

MALAYSIA memperoleh rizab minyak tambahan sebanyak kira-kira 227 juta tong susulan penemuan terbaru PETRONAS di kawasan luar pantai Sabah.

Setakat 1 Januari tahun ini, negara dianggarkan memiliki rizab minyak berjumlah 5.8 bilion tong yang hanya mampu bertahan untuk tempoh antara 18 hingga 20 tahun lagi.

Dengan penemuan terbaru oleh PETRONAS itu, ia mencadangkan kemungkinan wujudnya prospek bagi pertumbuhan pengeluaran di telaga minyak barunya yang mana syarikat minyak nasional itu kini turut membuat pelaburan yang besar bagi menyelesaikan masalah penyusutan pengeluaran di telaga minyak lamanya.

PETRONAS dalam kenyataannya semalam berkata, penemuan itu dibuat anak syarikat milik penuhnya, iaitu Petronas Carigali Sdn Bhd di telaga Wakid-1 dalam Blok 2G-2J, terletak kira-kira 100 kilometer di timur laut Kota Kinabalu.

Simpanan minyak itu ditemui ketika pasukan cari gali melakukan kerja pencarian dan penggerudian yang bermula pada 30 Mei hingga 4 Julai lalu.

Katanya, penggerudian secara menegak yang mencapai kedalaman 3,330 meter itu mengesahkan kehadiran simpanan minyak yang banyak selain kewujudan takungan gas. Tiga ujian pengeluaran telah dijalankan dalam tiga takungan berbeza yang mengalir minyak pada kadar maksimum membabitkan jumlah terkumpul sebanyak 8,200 tong sehari.

Berdasarkan anggaran awal, jumlah hidro karbon yang boleh dikeluarkan di kawasan penemuan ini adalah berjumlah 227 juta tong bersamaan minyak (mmboe) dengan potensi lebih banyak, katanya.

PETRONAS berkata, Petronas Carigali merancang untuk terus menilai potensi penemuan berkenaan dalam tempoh terdekat ini.

Wakid-1 adalah telaga kedua di Blok 2G-2J sejak Kontrak Perkongsian Pengeluarannya (PSC) diberikan pada Oktober 2010.

Telaga pertama blok itu, Tambuku-1, telah digerudi awal tahun ini tetapi hanya menunjukkan kehadiran penemuan gas yang kecil jumlahnya.

Petronas Carigali adalah pemegang ekuiti tunggal PSC bagi blok itu.

Dalam usaha menambahkan jumlah rizab minyak negara, PETRONAS, minggu lalu, turut mengumumkan kerjasama dengan Royal Dutch Shell membabitkan pelaburan bersama berjumlah AS$12 bilion (RM37.68 bilion) bagi membangunkan dua projek penemuan minyak dipertingkatkan (EOR) di luar pesisir Sarawak dan Sabah.

Kedua-dua projek dikenali sebagai Baram Delta dan North Sabah itu dijangka mampu menyumbang pertambahan pengeluaran antara 90,000 hingga 100,000 tong minyak sehari.

APLIKASI TURISAN LASER KEKANG PEMALSUAN MYKAD

APLIKASI TURISAN LASER KEKANG PEMALSUAN MYKAD

KUALA LUMPUR: Aplikasi imej turisan (torehan) laser pada MyKad versi baru yang akan diperkenalkan mulai 1 Januari depan dijangka mampu mengekang kegiatan pemalsuan dokumen pengenalan diri itu.


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam, berkata teknologi keselamatan itu yang termaju pernah dibangunkan untuk kegunaan dokumen pengenalan diri di Malaysia, amat sukar dipalsukan sekali gus memberikan versi baru MyKad lebih kelebihan berbanding versi digunakan kini.

Selama dua tahun kementerian menjalankan pelbagai kajian bagi meningkatkan kualiti MyKad, terutama ciri keselamatannya melalui aplikasi imej turisan laser pada nama dan nombor pengenalan diri pemiliknya. Teknologi Jerman ini membolehkan pihak berkuasa mengenalpasti ketulenan dokumen itu (MyKad) dalam tempoh singkat tanpa pemeriksaan terperinci, malah dengan melihat sekali imbas saja.

Keputusan memperkenalkan MyKad baru adalah berikutan maklum balas terhadap rungutan orang ramai sebelum ini mengenai kualiti dokumen pengenalan diri itu yang didakwa mudah rosak, selain menjadi sasaran sindiket pemalsuan hingga dikhuatiri mengancam keselamatan negara.

MyKad terbaru ini menepati piawaian antarabangsa, terutama dari segi spesifikasi ketebalan, panjang, lebar dan kedudukan cip pintar digunakan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menetapkan standard lebih tinggi dari segi pengujian cip pintar dan keadaan fizikalnya.

Bagaimanapun, penggantian kepada MyKad baru tidak diwajibkan kepada pengguna MyKad sedia ada, tetapi menggalakkan orang ramai menggantikannya sebagai langkah keselamatan. Bagaimanapun, kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan ciri keselamatan MyKad terbaru itu untuk semua dokumen pengenalan apabila tiba masa sesuai.

GAS ASLI, ARANG BATU JANA TENAGA

GAS asli dan arang batu akan terus menjadi sumber tenaga utama dalam penjanaan tenaga elektrik di Asia Tenggara pada masa depan dengan lebih 80 peratus penggunaan, kata Penasihat Kanan Tenaga Jabatan

Perancangan Strategik Korporat Exxon Mobil Corporation, David S Reed.

Sehubungan itu katanya, negara di rantau berkenaan termasuk Malaysia perlu mengaplikasi teknologi baru dan maju dalam pembangunan sumber berkenaan bagi memastikan kadar bekalan tenaga elektrik di negara ini terus mencukupi menjelang 2030.

Kebergantungan Malaysia terhadap dua sumber ini bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik memadai memandangkan populasi penduduknya kecil. Malaysia juga sudah mempunyai tiga terminal gas asli cecair dan ia sumber tenaga yang mencukupi untuk tempoh panjang, katanya kepada pada sidang meja bulat ExxonMobil di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada sesi itu juga, beliau menjelaskan permintaan tenaga di Asia Tenggara pada masa kini meningkat dengan mendadak dan menjangkakan penggunaannya bertambah dua kali ganda pada 2030.

Bagi permintaan terhadap tenaga elektrik pula akan meningkat sehingga tiga kali ganda untuk tempoh sama.

Mengenai penerokaan Malaysia dalam tenaga diperbaharui (RE), Reed menambah, tidak semua RE dapat diguna pakai di negara beriklim tropika.

Katanya, teknologi RE seperti angin tidak sesuai digunakan di sini kerana musimnya tidak menentu, Malaysia berpotensi dalam pembangunan sumber tenaga hidro, biomass dan biofuel. Tapi penggunaan sumber itu memerlukan perbelanjaan tinggi, justeru, ia bukan sumber sesuai buat masa ini, katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Malaysia perlu meneroka tenaga nuklear, Reed menjawab, kos pembangunan teknologi itu mahal sekiranya dibina dengan kuantiti loji nuklear yang sedikit.

Malaysia tidak memerlukan kuantiti loji yang banyak berbanding negara berpopulasi besar seperti China kerana negara itu sudah membina banyak loji nuklear bagi menampung keperluan kritikal dalam sumber tenaganya, katanya.

Mengenai pelepasan gas karbon dioksida di seluruh dunia pula, beliau berkata, Amerika Syarikat dan negara maju yang lain dianggarkan mengalami penurunan berikutan penggunaan teknologi canggih dalam sumber tenaga selain lebih ramai orang memilih untuk menggunakan produk mesra alam seperti kenderaan hibrid.

Negara membangun dijangka mengalami peningkatan susulan pembangunan pesat terutama negara besar termasuk China dan India yang memiliki ramai penduduk dan turut menyumbang kepada pertambahan bilangan kenderaan.

Monday, October 17, 2011

90 PERATUS KANAK-KANAK KETAGIH LAYARI INTERNET


layari-internet

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan remaja di negara ini dilaporkan melayari internet pada purata 19 jam seminggu, sehingga menyebabkan mereka terdedah dengan pengalaman negatif menerusi penggunaan teknologi itu termasuk buli, penipuan identiti dan

pornografi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata situasi itu mewakili kira-kira 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak atau sembilan daripada 10 daripada mereka berusia lima hingga 18 tahun di negara ini yang dilaporkan terdedah dengan gejala negatif dunia siber, sekali gus mampu mempengaruhi emosi mereka.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan merangka satu pelan strategik merangkumi kajian sama ada perlunya undang-undang atau polisi untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa kesan negatif internet.

Data diperoleh daripada Norton Online Family Report 2010 juga melaporkan hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa dilayari anak mereka dalam internet.

Kementerian akan memimpin pihak berkepentingan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity dan DIGI mengolah pelan strategik bagi memberi perlindungan kepada golongan sasar kerana ini amat berbahaya dan sejajar dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang dipersetujui kerajaan pada 2009.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri.

Shahrizat berkata, selain penekanan aspek perundangan, kementerian melalui pelan strategik juga akan turun padang bagi menganjurkan program advokasi dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi pengetahuan kepada ibu bapa mengenai situasi berkenaan.

Katanya, rangka kerja pelan strategik itu rentetan persetujuan kerajaan supaya negara menyertai ‘Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the Sale of Children, Child Prostitution and Child Pornography, September lalu. Jadi, dengan pelancaran buku ini, ia permulaan bagi pelan strategik itu sebelum mereka melakukannya secara menyeluruh.

Sementara itu, Husin berkata, CuberSecurity menerima aduan 11,930 insiden membabitkan jenayah siber sepanjang tahun ini sehingga September lalu yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999.

Beliau berkata, berdasarkan Statistik Insiden Keselamatan Siber, bilangan itu melonjak sehingga 130 peratus berbanding jumlah insiden pada tahun lalu, iaitu hanya 5,181.

Katanya, jenayah siber yang dilaporkan merangkumi penipuan (4,175), spam (3,452), pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), cubaan pencerobohan (525), gangguan siber (354), kelemahan laporan (87), gangguan perkhidmatan (77) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).

Disunting Daripada Berita Harian

SYOR WUJUD WEO UNTUK TANGANI ALAM SEKITAR


pbb

KUALA LUMPUR: Malaysia semalam mencadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan Pertubuhan Alam Sekitar Sedunia (WEO) bagi memacu usaha global untuk alam sekitar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata cadangan penubuhan badan alam sekitar itu perlu bagi memudahkan dan membantu negara anggota memenuhi komitmen hasil daripada persetujuan bersama mereka.

Katanya, hanya melalui penambahbaikan besar sistem urus tadbir, membolehkan dunia menangani cabaran alam sekitar yang mapan. Ia hampir mustahil untuk negara membangun mengambil bahagian secara bermakna. Negara yang boleh menampung sistem berkenaan hanyalah yang kaya sementara negara yang membangun dinafikan haknya.

Badan baru seperti WEO boleh membantu penyertaan negara membangun dengan cara yang lebih realistik dan bermakna.

Teks ucapan Najib dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Perdana Menteri berkata, sejak beberapa tahun lalu, masyarakat antarabangsa menerima ratusan perjanjian alam sekitar (MEA) pelbagai hala, semuanya dengan sekretariat dan pentadbiran masing-masing.

Antara 1992 hingga 2007, menerusi 18 MEA besar saja, 540 mesyuarat diadakan yang menghasilkan lebih 5,000 keputusan yang sepatutnya diambil tindakan oleh negara yang terbabit, katanya.

Najib berkata, kongres di Brazil dari 4 hingga 6 Jun tahun depan, akan memberi peluang yang kena pada masanya bagi meneliti norma dan prinsip keadilan, urus tadbir dan undang-undang kemapanan alam sekitar dan kaitan antaranya.

Beliau berkata, kongres itu perlu menyediakan peluang untuk mengambil keputusan terhadap langkah kepada evolusi dan pelaksanaan norma dan prinsip berkenaan, yang akan menyediakan cara menangani cabaran kemapanan abad ke-21.

Najib berkata, peserta mesyuarat persediaan itu akan berpeluang menyampaikan mesej jelas bagaimana mereka boleh bergerak pada pelbagai peringkat urus tadbir alam sekitar antarabangsa dengan membawa perspektif baru untuk dibahaskan.

Menurut Najib, mesyuarat persediaan ini adalah penting kerana ia akan memberi peluang untuk meletak asas kepada perbincangan yang akan dibuat di Kongres Sedunia. Kongres Sedunia adalah peluang unik untuk dilibatkan perbahasan mengenai urus tadbir Rio+20 dan menjadi peserta aktif, terutama untuk negara membangun yang cadangannya menyamai keperluan kita untuk pembangunan.

Pengarah Bahagian Undang-Undang Alam Sekitar dan Konvensyen Program Alam Sekitar PBB, Bakary Kanter, berkata cadangan Perdana Menteri ke arah kelestarian alam sekitar adalah langkah besar untuk alam sekitar global.

Ini pertama kali seorang pemimpin menyatakan pandangan maju mengenai WEO. Perdana Menteri memahami bagaimana alam sekitar adalah penting kepada masa depan negara ini dan dunia.

Disunting Daripada Berita Harian

Wednesday, September 21, 2011

TENAGA MATAHARI

Oleh NORUL RIDZUAN ZAKARIA

MATAHARI adalah sebuah bintang sepertimana berjuta-juta bintang lain yang dapat dilihat berkerlipan di angkasa pada setiap malam. Walau bagaimanapun oleh kerana matahari begitu penting dan diperlukan oleh manusia, maka pada kebanyakan masa bintang ini dianggap sebagai sebuah bintang yang amat istimewa dan luar biasa.

Matahari paling penting kepada kehidupan harian manusia sebagai sumber tenaga. Matahari adalah sumber tenaga primer, yang membawa maksud semua tenaga yang dihasilkan secara semulajadi ataupun secara proses teknologi adalah bersumberkan matahari. Tenaga yang dihasilkan oleh matahari adalah tenaga daripada tindak balas nuklear dan sampai ke bumi dalam bentuk cahaya.

Kajian tenaga matahari ataupun kajian tenaga suria (solar energy studies) adalah suatu bidang sains dan teknologi angkasa yang amat sesuai diberi perhatian oleh Malaysia kerana Malaysia terletak di kawasan khatulistiwa iaitu kawasan muka bumi yang paling hampir dengan matahari dan menerima paling banyak cahaya matahari. Kajian tenaga matahari mungkin merupakan suatu aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Buat masa ini, perjalanan tenaga suria secara terus tidak digunakan sebagai sumber tenaga utama kerana kadar penghasilan tenaganya adalah rendah dan tidak ekonomik. Negara-negara khatulistiwa yang maju di segi pengurusan ekonomi dan teknologi seperti Malaysia patut aktif dalam usaha menyelidik dan membangunkan janakuasa tenaga suria yang tinggi tahap penghasilan tenaganya.

Janakuasa tenaga suria yang efisien sekiranya dapat dihasilkan akan dapat membekalkan tenaga untuk pasaran tempatan dan juga untuk dieksport ke negara-negara jiran. Di samping itu, sistem penjanaan tenaga suria mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan sistem penjanaan tenaga lain seperti hidroelektrik, nuklear dan arang batu.

Janakuasa tenaga suria boleh dibina di kawasan-kawasan yang hampir dengan pengguna, tidak seperti janakuasa tenaga hidroelektrik yang perlu dibina di sungai-sungai yang mempunyai aliran yang deras dan mencukupi. Janakuasa tenaga suria juga tidak mempunyai kesan pencemaran alam sekitar seperti janakuasa nuklear dan arang batu.

Suatu sifat tenaga suria yang tidak mungkin boleh ditandingi oleh mana-mana sumber tenaga lain termasuk petroleum dan arang batu adalah sifat kekasihnya. Tenaga suria akan terus wujud dan kekal selagi matahari terus wujud dan memancarkan cahayanya, sedangkan bekalan sumber tenaga lain seperti petroleum dan arang batu adalah terhad dan akan habis pada suatu ketika kelak.

Pemprosesan tenaga suria tidak semestinya menggunakan janakuasa yang besar yang menelan perbelanjaan yang banyak untuk pembinaan dan operasinya. Tenaga suria juga boleh diproses kepada tenaga elektrik menggunakan sistem sel suria dengan berkesan.

Suatu sektor industri yang patut meneroka sistem pemprosesan tenaga suria kecil adalah industri automotif. Industri automotif di negara-negara maju telahpun mengeluarkan kenderaan-kenderaan prototaip yang menggunakan sistem hibrid (hybrid) ataupun sistem 2 enjin, iaitu satu enjin konvensional dan satu enjin elektrik. Enjin konvensional digunakan untuk perjalanan jarak jauh yang memerlukan kelajuan, dan enjin elektrik digunakan di kawasan bandar yang memerlukan penjimatan tenaga.

Tenaga elektrik kenderaan hibrid dibekalkan oleh bateri yang dicaj oleh pergerakan kereta itu sendiri ketika ia menggunakan enjin konvensional. Di negara khatulistiwa seperti Malaysia, enjin elektrik ini boleh dicaj menggunakan sistem sel suria. Ini bermakna, sekiranya digunakan di Malaysia, kenderaan hibrid boleh dicaj ketika ia berhenti ataupun tidak digunakan, terutamanya ketika ia diletakkan di bawah kepanasan cahaya matahari.

Secara kebetulan, semua kenderaan buatan Malaysia adalah bersaiz kecil dan ringan. Oleh itu kenderaan ini amat sesuai digerakkan oleh enjin hibrid. Sebagai permulaan, kenderaan-kenderaan ini mungkin sesuai memasang aksesori seperti sistem pendingin kabin dan sistem pendingin enjin yang digerakkan secara automatik oleh sel suria apabila wujudnya cahaya matahari.

Sistem pendingin kabin berkuasa suria amat berguna kepada kereta yang diletakkan pada masa yang lama di bawah kepanasan cahaya matahari. Sistem ini aktif dengan sendirinya apabila sel suria menerima cahaya matahari dan menghidupkan kipas bagi mendinginkan udara di dalam kabin kereta. Dengan ini, apabila kereta berkenaan hendak digunakan, maka kabinnya tidaklah terlalu panas sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.

Sistem pendingin enjin berkuasa suria pula amat berguna kepada kereta yang terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas dalam cuaca yang panas. Sistem ini aktif secara automatik dan merendahkan suhu enjin kereta tersebut. Dengan ini, sistem pendingin enjin dapat melancarkan dan melindungi enjin daripada masalah terlalu panas (overheated).

Suatu lagi faktor industri yang patut meneroka potensi tenaga suria adalah industri perumahan. Rumah-rumah yang dibina di Malaysia sesuai dilengkapkan dengan kemudahan pemprosesan tenaga suria kepada tenaga elektrik. Oleh kerana rumah merupakan struktur kekal (permanent structure), maka ia boleh dibina sedemikian rupa agar dapat mengumpul tenaga matahari untuk diproses bagi menghasilkan tenaga elektrik.

Malangnya pada hari ini, satu-satunya penggunaan tenaga suria di rumah yang popular adalah memanaskan air untuk kegunaan bilik air, sedangkan kegunaan air panas di bilik air adalah lebih sesuai di negara-negara yang beriklim sejuk, bukan beriklim panas seperti di Malaysia. Pemaju perumahan dan arkitek di Malaysia sepatutnya lebih kreatif menghasilkan dan menggunakan produk yang lebih sesuai seperti kipas angin ataupun pendingin udara yang dijanakan oleh tenaga suria.

Malaysia juga boleh meneroka potensi industri penjanaan tenaga suria di negara-negara Afrika utara dan Arab kerana negara-negara ini adalah negara-negara yang menerima jumlah cahaya matahari yang banyak dan mempunyai suhu permukaan yang amat tinggi sehingga 40 darjah celsius. Negara-negara Afrika utara dan Arab ini juga adalah negara-negara Islam yang memandang tinggi Malaysia sebagai negara Islam yang paling maju di segi pengurusan ekonomi dan teknologi.

Di samping suhu permukaan yang tinggi, kawasan-kawasan tertentu di Afrika utara dan Arab ini juga mempunyai langit yang tidak berawan. Oleh itu, kawasan-kawasan ini menerima cahaya matahari sepanjang masa pada waktu siang. Kawasan-kawasan inilah merupakan lokasi terbaik bagi pembinaan janakuasa tenaga suria secara terus.

Pada ketika ini negara-negara Afrika utara dan Arab memperolehi begitu banyak tenaga dan keuntungan ekonomi daripada petroleum. Mungkin sebahagian kecil daripada pemperolehan ini patut dilaburkan kepada industri penjanaan tenaga suria.

Tidak seperti petroleum yang akan habis pada suatu ketika nanti, tenaga suria tidak akan habis atau berkurangan selagi matahari masih terus wujud dan bersinar.

Kini telah wujud beberapa, kumpulan saintis dan jurutera di negara-negara maju yang menyelidik dan berusaha membangunkan sistem penjanaan tenaga suria di angkasa. Sistem ini akan menggunakan rangkaian satelit yang dilengkapkan dengan kemudahan mengumpul cahaya matahari. Satelit-satelit ini diletakkan di orbit mengelilingi bumi di atas garisan khatulistiwa kerana kawasan ini terletak paling hampir dengan matahari dan menerima paling banyak cahaya matahari.

Cahaya matahari yang dikumpul diproses dan dipancarkan dalam bentuk gelombang mikro kepada stesen-stesen yang terletak di muka bumi. Stesen-stesen ini juga akan dibina di kawasan khatulistiwa kerana lokasi ini merupakan lokasi yang paling hampir dengan satelit-satelit pengumpul cahaya matahari berkenaan. Jarak yang minimum ini amat penting kerana kuasa gelombang mikro akan hilang pada kadar yang tinggi sekiranya ia dipancarkan pada jarak yang jauh.

Stesen-stesen di kawasan khatulistiwa di muka bumi ini akan memproses gelombang mikro kepada tenaga elektrik untuk disalurkan kepada pengguna. Malaysia mungkin merupakan lokasi yang paling baik untuk operasi stesen tenaga suria ini kerana Malaysia bukan sekadar terletak di khatulistiwa, tetapi juga di kawasan yang mempunyai penduduk padat, pembangunan dan industri Asia Tenggara yang berpotensi tinggi sebagai pengguna.

Pihak-pihak tertentu di Malaysia mungkin patut bekerjasama dengan pihak saintis dan jurutera yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan sistem satelit penjana tenaga suria ini. Pihak berkenaan di Malaysia boleh melabur dalam projek ini dengan menyediakan stesen bagi menerima gelombang mikro dari satelit penjana tenaga suria dan menyalurkannya kepada pengguna secara komersial.

Organisasi penyelidikan, institut pengajian tinggi dan industri kejuruteraan dan tenaga di Malaysia patut aktif menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang tenaga suria bagi menghasilkan dan memasarkan produk yang bersifat komersial. Produk-produk ini merupakan peralatan-peralatan elektrik berkuasa suria yang boleh digunakan dengan efektif di Malaysia dan negara-negara yang menerima banyak cahaya matahari.

Cahaya matahari yang ditukarkan kepada tenaga elektrik sendiri adalah suatu produk yang bernilai tinggi. Produk tenaga ini bukan sahaja boleh dipasarkan di pasaran tempatan, tetapi juga boleh dieksport ke negara jiran. Boleh dikatakan pada hari ini, cahaya matahari begitu banyak ``dibazirkan'' di Malaysia kerana kebanyakannya dihalang dan tidak ditukarkan kepada tenaga elektrik.

Penjanaan tenaga suria ataupun tenaga daripada matahari adalah salah satu daripada elemen ekonomi angkasa yang paling popular dan praktikal untuk dimajukan. Malaysia mempunyai beberapa kelebihan yang nyata dalam aktiviti ekonomi ini disebabkan faktor geografi dan ekonomi, teknologi dan politik. Tenaga suria sebenarnya merupakan suatu lagi potensi ekonomi angkasa Malaysia yang masih belum dipergunakan.

Tuesday, September 20, 2011

PENSWASTAAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL MENJAMIN MUTU PERKHIDMATAN DAN PELABURAN


muhyidin1

PUTRAJAYA, 19 Sept -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal pasti meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di negara ini ke tahap lebih cekap dan berkesan serta

mencapai piawaian peringkat global.
Timbalan Perdana Menteri berkata pendekatan itu membolehkan syarikat konsesi yang dilantik berani melabur secara besar-besaran bagi mendapatkan teknologi terkini, mesin dan kelengkapan moden serta tenaga kerja yang mahir, sekaligus menyediakan perkhidmatan yang efisien.
Katanya, melalui tempoh perjanjian selama 22 tahun ini, (sebagai contoh) mereka boleh mengambil langkah menambah bilangan jentera "compactor", yang digunakan, tenaga kerja yang terlatih, di samping menyediakan tong-tong sampah yang cukup. Dengan itu kita harapkan syarikat konsesi menjadi lebih efisien.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Konsesi dan Perjanjian Tiga Pihak antara Kerajaan Persekutuan dengan tiga syarikat konsesi sempena penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di sini hari ini.
Muhyiddin berkata peralihan tanggung jawab itu belum pernah berlaku di mana-mana negara. Tiga syarikat konsesi itu ialah Alam Flora Sdn Bhd yang menguruskan zon tengah dan timur, yang merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan, SWM Environment Sdn Bhd bagi zon selatan yang meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan serta Environment Idaman Sdn Bhd bagi menguruskan zon utara Kedah dan Perlis
Muhyiddin yakin tiga negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Perak akan turut menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) tidak lama lagi. Katanya, perjanjian baharu itu telah menamatkan episod suka duka syarikat konsesi berkenaan dalam mengharungi tempoh interim selama 14 tahun sebelum ini.
Sebelum ini, menurutnya, syarikat konsesi terbabit teragak-agak untuk melabur berjuta-juta ringgit untuk mengembangkan perkhidmatannya kerana tidak ada sebarang jaminan kukuh dari kerajaan. Perubahan ini dibuat mengambil kira pelbagai aspek yang menyeluruh, meliputi kerangka dasar, institusi, perundangan dan juga kepentingan rakyat. Kerjaan juga turut mengambil kira kemampuan kewangan yang terhad bagi kebanyakan PBT, untuk menguruskan sisa pepejal secara lebih berkesan.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal adalah komitmen kerajaan Malaysia secara sukarela untuk mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hujau, berdasarkan kepada "emissions intensity of GDP" sehingga 40 peratus menjelang 2020.
Dalam Rancangan Malaysia ke-sembilan (RMK9), katanya kerajaan telah membelanjakan RM958.7juta bagi menguruskan sisa pepejal, namun bagi 2010 sahaja, kerajaan terpaksa membelanjakan RM303 juta, iaitu hampir 1/3 dari jumlah keseluruhan bagi RMK9.
Katanya kos pengurusan sisa pepejal terus membebankan kerajaan memandangkan kuantiti sisa pepejal yang dihasilkan rakyat negara ini terus meningkat, iaitu 19,000 tan sehari bagi 2005 meningkat kepada 27,000 tan sehari sekarang. Beliau berkata keadaan itu menjadi lebih serius memandangkan kebanyakan tapak pelupusan sisa pepejal di negara ini bukan tapak pelupusan sanitari.
Katanya, daripada 166 tapak pelupusan yang sedang beroperasi sekarang, hanya lapan tapak sahaja yang merupakan tapak pelupusan sanitari. Dengan pengambilalihan tanggung jawab ini, kerajaan persekutuan berharap ia bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, malah dapat memberi ruang meningkatkan keupayaan bagi menerokai kaedah rawatan dan pelupusan berteknologi canggih, mesra alam dan berkesan kos.
Selain itu, beliau juga menyeru semua pihak supaya terus menggandakan pelbagai aktiviti untuk menjayakan 3R iaitu reduce (kurangkan), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula).
Berita disunting daripada sumber : BERNAMA

AWAS SETIAP PERKATAAN DALAM SOALAN KARANGAN

AWASI setiap perkataan dalam soalan karangan

DIPETIK DARI BLOG http://mysabak.blogspot.com

SEMUA guru berpesan supaya meneliti setiap perkataan dalam soalan peperiksaan. Setiap perkataan pula membawa maksud tertentu, dan pastinya membawa jawaban yang berbeda. Cuba perhatikan contoh dua soalan di bawah yang yang dibedakan dengan satu sahaja perkataan.

Soalan 1
Salah satu kesan aktiviti pemerdagangan manusia adalah mencemarkan imej negara di mata dunia. Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut. Bincangkan.

Soalan 2
Satu kesan aktiviti permerdagangan manusia adalah mencemarkan imej negara di mata dunia. Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut. Bincangkan.

Jawaban soalan 1 merangkumi
Kesan-kesan
1. Mencemarkan imej negara di mata dunia.
2. Menjejaskan hubungan diplomatik antara bangsa.

Langkah-langkah
3. Penguatkuasaan undang-undang.
4. Memperkatat kemasukan pelancong asing.

Jawaban soalan 2 merangkumi
Kesan
1. Mencemarkan imej negara di mata dunia.

Langkah-langkah
2. Penguatkuasaan undang-undang.
3. Memperketat kemasukan pelancong asing.
4. Koordinasi antara beberapa kementerian.

Monday, August 1, 2011

NOTA PENYAKIT BERJANGKIT

http://pjk.ipgkti.edu.my/nota/Jenis-Jenis%20Penyakit%20Berjangkit.pdf

JAMBATAN BARU TAHAN GEMPA


jambatan

GEORGETOWN: Struktur Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 23 kilometer yang menghubungkan Seberang Prai dengan bahagian pulau di negeri ini mempunyai keupayaan menampan kesan gempa bumi menerusi penggunaan


teknologi unik dikenali sebagai galas getah redaman tinggi (HDRB), sekali gus melindunginya daripada kerosakan.

Peralatan inovatif ilham pakar tempatan itu bukan saja berupaya melindungi struktur jambatan, tetapi juga isi kandungan dalam struktur dan penggunaannya amat berguna untuk pembinaan yang kritikal. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata teknologi yang pertama kali digunakan dalam kerja pembinaan di negara ini berupaya melindungi struktur jambatan bernilai RM4.5 bilion itu daripada mengalami kerosakan akibat kesan gempa bumi. HDRB adalah peralatan inovatif untuk melindungi bukan saja struktur tetapi juga isi kandungan dalam struktur dan penggunaannya amat berguna untuk pembinaan yang kritikal serta boleh digunakan pada masa depan.

Beliaubangga apabila teknik yang diilhamkan oleh anak Malaysia digunakan dalam pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang ini. Hadir sama, Pengarah Urusan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Datuk Prof Dr Ismail Mohamed Taib.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, kerja pembinaan jambatan menghubungkan Batu Kawan, Nibong Tebal dan Batu Maung, di sini, kini siap 54 peratus dan dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual pada November 2013.Beliau amat berpuas hati dan gembira dengan kerja pembinaan berjalan mengikut jadual ditetapkan dan tunggulah apabila Jambatan Kedua ini siap ia bakal menjadi sebuah jambatan yang amat cantik.

Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang mempunyai tiga pakej dengan pakej satu bernilai RM2.2 bilion membabitkan kerja pembinaan tapak, struktur asas dan gerbang yang dijangka siap pada Mei 2012. Pakej dua membabitkan kontrak bernilai RM1.55 bilion bagi pembinaan struktur mega pula dijangka siap pada 2013, manakala bagi pakej ketiga bernilai RM750 juta akan diumumkan kelak. Pembinaan pakej satu dilaksanakan oleh CHEC Construction (M) Sdn Bhd, manakala pakej dua oleh UEM Builders Bhd.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

BIOMETRIK

Biometrik adalah sains dan teknologi pengukuran dan analisis data biologi. Dalam teknologi maklumat, biometrik merujuk kepada teknologi yang mengukur dan menganalisis ciri-ciri tubuh badan manusia, seperti DNA, cap jari, retina mata dan irises, corak suara, corak muka dan ukuran tangan , untuk tujuan pengesahan.

Tanya soalan biometrik anda di ITKnowledgeExchange.com

Pengesahan oleh biometrik

pengesahan menjadi semakin biasa dalam sistem keselamatan korporat dan awam, elektronik pengguna dan titik jualan ( POS ) aplikasi. Di samping itu untuk keselamatan, penggerak di sebalik pengesahan biometrik telah kemudahan.

Peranti biometrik, seperti fingerscanners, terdiri daripada:

  • A peranti pembaca atau pengimbasan
  • Perisian yang menukarkan maklumat yang diimbas ke dalam bentuk digital dan membandingkan mata perlawanan
  • Pangkalan data yang menyimpan data biometrik untuk perbandingan

Untuk mengelakkan kecurian identiti , data biometrik biasanya disulitkan apabila ia dikumpulkan. Berikut adalah bagaimana kerja-kerja pengesahan biometrik pada hujung belakang: Untuk menukarkan input biometrik, satu aplikasi perisian yang digunakan untuk mengenal pasti titik tertentu data sebagai mata perlawanan. Titik-titik yang hampir sama dalam pangkalan data diproses menggunakan algoritma yang menterjemahkan maklumat tersebut ke dalam nilai bernombor. Nilai pangkalan data berbanding dengan input biometrik pengguna akhir telah dimasukkan ke dalam pengimbas dan pengesahan sama ada diluluskan atau ditolak.

Penyumbang (s): Lennard-Peter Sutherland
Ini kali terakhir dikemaskini pada Oktober 1998

KEMPEN AJAK RAKYAT AMAL HIDUP SIHAT


my-sihat

BANGSAR: Seramai 10,000 dijangka menyertai Karnival 10,000 Langkah Sehari MY Sihat, iaitu cabaran berjalan kaki 10,000 langkah sejauh 6.5 kilometer di Dataran Putrajaya, Presint 2, Putrajaya, pada Sabtu ini.

Program anjuran Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MY Sihat) dengan sokongan Berita Harian dan Kementerian Kesihatan juga diadakan di 13 lokasi di seluruh negara, iaitu Bentong di Pahang, Kuala Terengganu, Muar, Melaka, Seremban, Arau, Sungai Petani, Teluk Intan, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Bharu, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Pengerusi My Sihat, Toh Puan Dr Aishah Ong, berkata program unik itu adalah kesinambungan kepada kempen berjalan kaki 10,000 langkah sehari anjuran Kementerian Kesihatan tahun lalu bagi mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat Malaysia.

Program itu sejajar usaha kerajaan memerangi penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit jantung, obesiti dan diabetes yang semakin meningkat yang dikaitkan dengan amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat. Puratanya rakyat Malaysia hanya berjalan 2,000 langkah sehari dan itu tidak sihat. Berjalan kaki 10,000 langkah sehari membantu kita menangani masalah penyakit kronik.

Hadir sama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Ketua Pegawai Eksekutif MY Sihat, Dr Yahya Baba; dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali. Karnival terbahagi kepada lima segmen iaitu senaman dan sukan dengan cabaran berjalan kaki 10,000 langkah sehari menjadi indikator keseluruhan program.

Program yang akan bermula jam 7 pagi hingga 3 petang Sabtu ini akan dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Zainul Arifin berkata, sebagai kumpulan media cetak terbesar negara, NSTP sentiasa menyokong penganjuran program kesihatan seumpama itu.

Terdahulu, Aishah menerima borang penyertaan penduduk Putrajaya yang diwakili Pengerusi Persatuan Penduduk Putrajaya, Mohd Tahir Mohamad sebelum majlis dimeriahkan dengan persembahan senamrobik daripada tiga gadis cilik dari Jazzercise, iaitu senamrobik yang menggabungkan tarian Jazz, yoga dan kick boxing.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

FIRMA UBAT DIARAH TARIK BALIK ANTIBIOTIK


antibiotik2

HONG KONG: Hong Kong mengarahkan GlaxoSmithKline menarik balik dari pasaran sejenis antibiotik digunakan untuk merawat jangkitan kepada kanak-kanak, berikutan ubat itu mengandungi aditif


kimia dan mengancam mahu menyaman syarikat farmasi gergasi itu.
Jabatan Kesihatan wilayah autonomi China itu berkata ujian mendapati tablet antibiotik Augmentin keluaran syarikat Britain berkenaan mengandungi beberapa ‘plasticiser’ (bahan yang dicampur untuk melenturkan plastik), termasuk ‘diisodecyl phthalate’ (DIDP), yang menimbulkan kebimbangan terhadap kualitinya.
Bagaimanapun jabatan itu berkata jumlah kandungan pelentur plastik dalam ubat itu tidak mendatangkan bahaya jika diambil mengikut dos disarankan.
Pihak berkuasa itu berkata ia akan mendapatkan nasihat Jabatan Kehakiman berhubung kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap GlaxoSmithKline (GSK). Oleh kerana GSK tidak dapat menawarkan penjelasan yang memuaskan berhubung sumber pelentur plastik itu, kualiti produk itu diragui.
Dalam satu kenyataan, syarikat farmasi itu berkata ia akan melancarkan siasatan ‘segera dan menyeluruh’ untuk mengenal pasti sumber aditif berkenaan. GSK tidak secara sengaja menggunakan sebarang plasticiser dalam Augmentin.

Syarikat itu berkata jumlah kandungan plasticiser yang dikesan adalah lebih rendah daripada jumlah yang dianggap bahaya kepada manusia oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Eropah.

Bulan lalu, pihak berkuasa di Hong Kong memerintahkan penarikan balik antibiotik Augmentin dalam bentuk sirap setelah mengesan kandungan tinggi DIDP.

Ia memberi amaran pengambilan DIDP pada jumlah yang besar untuk tempoh yang panjang boleh menjejas hati.

Disunting Daripada Berita Harian

Sunday, July 31, 2011

PETRONAS TEMUI TELAGA GAS BARU

PETRONAS membuat dua penemuan penting gas asli di kawasan air cetek luar pantai barat Sabah, yang berpotensi meningkatkan lagi bekalan sumber itu bagi memenuhi permintaan domestik.

Malaysia adalah pengeksport gas asli cecair (LNG) kedua terbesar selepas Qatar pada 2009, namun jatuh ke tangga ketiga selepas Indonesia tahun lalu berikutan penurunan pengeluaran daripada lapangan gas yang uzur.

Sementara itu, peningkatan permintaan daripada loji tenaga turut menggugat jumlah eksport gas negara, justeru menyebabkan syarikat minyak nasional meningkatkan usaha untuk meningkatkan pengeluaran daripada lapangan domestik serta menambah pegangan dalam projek minyak dan gas di peringkat antarabangsa.

Awal minggu ini, PETRONAS juga telah memeterai perjanjian awal dengan Qatargas untuk membekalkan kepada syarikat itu 1.5 juta tan LNG setahun untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Perkara itu memberikan gambaran peralihan Malaysia daripada menjadi negara pengeksport bahan api itu kepada pengimport dalam usaha memenuhi permintaan loji tenaganya yang berkembang pada kadar enam peratus setahun.

Dalam satu kenyataan semalam, PETRONAS berkata penemuan pertama adalah di telaga Zuhai East-1, yang terletak di Blok Samarang Asam Paya, kira-kira 130 kilometer di barat daya Kota Kinabalu.

Anggaran semasa kandungan gas di kawasan itu adalah 550 bilion kaki padu standard (bscf).

Pada masa sama, katanya, satu takungan yang sama di telaga berdekatan kira-kira lima kilometer ke timur dari kawasan penemuan Zuhai East diuji mengandungi aliran gas pada kadar maksimum 21 juta bscf sehari.

PETRONAS Carigali ialah pemegang ekuiti tunggal kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Blok Samarang Asam Paya itu.

Sementara itu, penemuan kedua pula adalah di telaga Menggatal-1 ditemui di Blok SB312, kira-kira 110 kilometer ke timur laut Kota Kinabalu.

PSC Blok SB312 itu adalah usaha sama antara PETRONAS Carigali yang memegang ekuiti 60 peratus dan KUFPEC Malaysia (SB 312) Ltd, iaitu satu anak syarikat Kuwait Foreign Petroleum Exploration Co, yang memegang baki kepentingan.

Berita disunting daripada Berita Harian

TENAGA NUKLEAR

Disediakan oleh: V.Thurka Devi & J.Kalai Selvi M

SMK Dato Mohd Said

6AP

Tenaga nuklear penting dalam bidang perubatan Radioisotop nuklear digunakan untuk membuat diagnosis penyakit. Hal ini membantu doctor mengesan penyakit seperti ketumbuhan otak, tiroid, kanser tulang, kanser buah pinggang,kanser jantung, dan kanser hati.Alat pengimbas CAT dan laser yang tercanggih juga melibatkan bahan radioaktif. Kobalt-60 digunakan untuk membunuh sel kanser. Radioisotop fosforus dapat merawat tumor otak. Pensterilan alatan perubatan lebih sempurna. Semua perkara ini dapat meningkatkan taraf kesihatan manusia.

Penggunaan tenaga nuklear juga penting dalam bidang pertanian. Sebagai contohnya,tenaga nuklear digunakan untuk mengesan pengambilan baja oleh tumbuh-tumbuhan. Hal ini membolehkan penghasilan baja serta kaedah membaja yang paling berkesan. Sinaran gamma dapat memandulkan serangga perosak jantan dalam bidang kawalan biologi.Apabila serangga ini mengawan, tiada zuriat akan dihasilkan. Dengan cara ini, bilangan serangga perosak dapat dikawal. Mutasi aruhan menghasilkan baka tanaman yang lebih baik. Sinaran nuklear dapat mengubah gen tanaman.

Teknologi nuklear juga penting dalam sector perindustrian. Teknologi nuklear dapat mengesan kebocoran paip bawah tanah.larutan radioaktif dimasukkan ke dalam paip yang disyaki bocor. Alat mengesan dapat mengesan kebocoran itu dari permukaan bumi.pengawalan ketebalan dan sambangan paip serta pengukuran kehausan enjin juga dapat dijalankan. Tenaga ini juga digunakan untuk mengukur kepadatan tembakau dan coklat. Alat komunikasi canggih seperti satelit dan internet turut memerlukan teknologi ini.

Tenaga nuklear juga merupakan tenaga alternatif yang baik. Bekalan petroleum akan kehabisan tidak lama lagi. Harga petroleum juga semakin meningkat. Dari segi kos seunit tenaga nuklear lebih murah daripada petroleum. Kita juga tidak memerlukan kawasan yang begitu luas untuk menghasilkan tenaga nuklear. Di Negara maju seperti Perancis, 90 peratus bekalan elektriknya dihasilkan melalui janakuasa nuklear. Jepun yang maju dalam industri berat dan tidak mempunyai sumber tenaga asli bergantung pada tenaga nuklear untuk pembangunan Negara.

Bahan radioaktif mengancam kesihatan manusia. Kemalangan di loji nuklear akan menyebabkan kebocoran bahan radioaktif. Sebagai contohnya, kebocoran bahan radioaktif diloji nuklear Chernobyl di Rusia pada tahun 1986 mendedahkan penduduk di sekitarnya kepada bahaya radiasi. Orang yang terkena radiasi akan mati dengan serta merta. Mereka juga akan mengalami mutasi genetic. Generasi muda yang dilahirkan menghidap penyakit kanser yang pelbagai. Banyak penduduk kepulauan Polynesia menghidap barah otak akibat ujian nuklear yang dijalankan oleh Negara Perancis di kawasan tersebut.

Keselamatan dan keamanan dunia terancam akibat perlumbaan senjata nuklear. Negara-negara berkuasa besar berlumba-lumba menghasilkan senjata nuklear. Peluru berpandu nuklear dihasilkan dengan banyaknya. Senjata kimia yang digunakan semasa perang Vietnam sudah cukup menakutkan manusia. Jika berlaku peperangan yang menggunakan senjata nuklear, peperangan itu pasti akan melenyapkan tamadun manusia di bumi. Bom atom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki membawa kesengsaraan hidup kepada penduduk di situ dan generasi muda mereka. Kini,bom neutron pasti lebih dahsyat lagi.

Bahaya sisa radioaktif amat mengerikan.Oleh itu,wajarlah kita berwaspada dan beringat sebelum terlambat. Keselamatan generasi yang akan datang tidak sepatutnya digadaikan demi faedah atau kesenangan jangka pendek.

Sunday, July 24, 2011

KULIAH MINGGU 30

ISU MINGGU INI
Fokus Isu: Pil Pelansing

Pil Pelangsing Badan Fenfluramin

Produk pelangsingan badan yang mengandungi Fenfluramin tergolong dalam kumpulan ubat anoretik yang bertindak mengurangkan paras serotonin di dalam otak. Ia merencat selera makan dan seterusnya mengakibatkan pengambilnya mengalami penyusutan berat badan. Serotonin ialah sejenis bahan kimia yang berfungsi sebagai pengutus saraf di dalam otak.

Berhati-Hati Dengan Pil Pelansing Di Pasaran

Berhati-Hati Dengan Pil Pelansing Di Pasaran

Produk pelangsingan badan ini juga akan bertindak menghalang serotonin di dalam plasma darah daripada diserap ke dalam platelet (sel-sel pembekuan dalam darah) menyebabkan paras serotonin di dalam darah meningkat.

Akibat menggunakan produk pelangsingan badan yang mengandungi serotonin terlalu tinggi ia boleh merosakkan salur darah terutama pada paru-paru dan jantung, kerosakan injap jantung, kelenjar tiroid membengkak, kerosakan hati, tekanan darah tinggi, strok serta gangguan mental. Kegagalan fungsi hati pula boleh berlaku dalam masa satu minggu hingga sebulan jika diambil secara berlebihan. Sekiranya produk pelangsingan badan ini diambil secara berterusan dalam jangkamasa yang lama, ia boleh mengakibatkan radang hati (hepatitis).

Produk pelangsingan badan dari fenfluramin biasa digunakan untuk merawat kes kegemukan melebihi 20 peratus berat badan yang dicadangkan. Produk pelangsingan badan ini boleh menurunkan sebanyak 10 peratus berat badan manakala dalam sesetengah kes sehingga antara 15 dan 20 peratus. Produk pelangsingan badan dari fenfluramin disyorkan kepada pesakit diabetes yang gemuk bagi membantu menurunkan berat badan mereka untuk mengelakkan risiko lain.

Kesan sampingan akibat mengamalkan pil langsingan sebagai produk pelangsingan badan antaranya ialah cirit-birit, mual mulut menjadi kering, hipertensi, sukar hendak tidur, rasa panas badan, berdebar-debar, sakit dada, berpeluh dan kerap membuang air kecil.

Walaupun kebanyakan jenama produk pelangsingan badan ini telah diharamkan di negara kita, tetapi masih ada lagi yang boleh diperolehi secara haram. Pengambilan pil-pil ini hanya akan mengundang bahaya kerana kebiasaanya ia tidak dilabel dengan lengkap dan pengguna sukar untuk mengenalpasi kesan akibat penggunaannya.

Adalah dinasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada menggunakan produk pelangsingan badan. Sebaliknya jika ingin menguruskan badan lakukannya dengan cara yang selamat dan sihat, iaitu dengan bersenam, bersukan atau apa-apa aktiviti lain yang boleh mengeluarkan peluh. Cuba jauhi penggunaan pil pelangsingan badan kerana ia mendatangkan pelbagai kesan mudarat kepada kesihatan dalam jangka masa panjang malah boleh membawa maut. Pengguna mungkin berpuas hati dengan berat badan yang hilang tetapi risiko jangka panjangnya juga perlu diambil kira sebelum sesuatu yang buruk berlaku.

Cara yang terbaik untuk menurunkan berat badan adalah dengan memakan makanan yang rendah glysemik. Ini kerana ia boleh mengekalkan kestabilan level glukosa dan dapat mengurangkan selera terhadap makanan yang tinggi karbohidrat, sekaligus dapat mengawal selera makan anda secara semulajadi dengan mudah.

Usana-Reset telah dijamin secara saintifik mengandungi rendah glysemik. Kajian menunjukkan 95% pengguna usana-reset dilaporkan kurang selera terhadap makanan karbohidrat selepas 5 hari pengambilan usana-reset. Program ini telah terbukti dapat menurunkan berat badan dengan cara paling selamat dan berkesan. Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.kuruskanbadan.com