GAS asli dan arang batu akan terus menjadi sumber tenaga utama dalam penjanaan tenaga elektrik di Asia Tenggara pada masa depan dengan lebih 80 peratus penggunaan, kata Penasihat Kanan Tenaga Jabatan
Perancangan Strategik Korporat Exxon Mobil Corporation, David S Reed.
Sehubungan itu katanya, negara di rantau berkenaan termasuk Malaysia perlu mengaplikasi teknologi baru dan maju dalam pembangunan sumber berkenaan bagi memastikan kadar bekalan tenaga elektrik di negara ini terus mencukupi menjelang 2030.
Kebergantungan Malaysia terhadap dua sumber ini bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik memadai memandangkan populasi penduduknya kecil. Malaysia juga sudah mempunyai tiga terminal gas asli cecair dan ia sumber tenaga yang mencukupi untuk tempoh panjang, katanya kepada pada sidang meja bulat ExxonMobil di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada sesi itu juga, beliau menjelaskan permintaan tenaga di Asia Tenggara pada masa kini meningkat dengan mendadak dan menjangkakan penggunaannya bertambah dua kali ganda pada 2030.
Bagi permintaan terhadap tenaga elektrik pula akan meningkat sehingga tiga kali ganda untuk tempoh sama.
Mengenai penerokaan Malaysia dalam tenaga diperbaharui (RE), Reed menambah, tidak semua RE dapat diguna pakai di negara beriklim tropika.
Katanya, teknologi RE seperti angin tidak sesuai digunakan di sini kerana musimnya tidak menentu, Malaysia berpotensi dalam pembangunan sumber tenaga hidro, biomass dan biofuel. Tapi penggunaan sumber itu memerlukan perbelanjaan tinggi, justeru, ia bukan sumber sesuai buat masa ini, katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada Malaysia perlu meneroka tenaga nuklear, Reed menjawab, kos pembangunan teknologi itu mahal sekiranya dibina dengan kuantiti loji nuklear yang sedikit.
Malaysia tidak memerlukan kuantiti loji yang banyak berbanding negara berpopulasi besar seperti China kerana negara itu sudah membina banyak loji nuklear bagi menampung keperluan kritikal dalam sumber tenaganya, katanya.
Mengenai pelepasan gas karbon dioksida di seluruh dunia pula, beliau berkata, Amerika Syarikat dan negara maju yang lain dianggarkan mengalami penurunan berikutan penggunaan teknologi canggih dalam sumber tenaga selain lebih ramai orang memilih untuk menggunakan produk mesra alam seperti kenderaan hibrid.
Negara membangun dijangka mengalami peningkatan susulan pembangunan pesat terutama negara besar termasuk China dan India yang memiliki ramai penduduk dan turut menyumbang kepada pertambahan bilangan kenderaan.
No comments:
Post a Comment