Thursday, December 22, 2011

APLIKASI TURISAN LASER KEKANG PEMALSUAN MYKAD

APLIKASI TURISAN LASER KEKANG PEMALSUAN MYKAD

KUALA LUMPUR: Aplikasi imej turisan (torehan) laser pada MyKad versi baru yang akan diperkenalkan mulai 1 Januari depan dijangka mampu mengekang kegiatan pemalsuan dokumen pengenalan diri itu.


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam, berkata teknologi keselamatan itu yang termaju pernah dibangunkan untuk kegunaan dokumen pengenalan diri di Malaysia, amat sukar dipalsukan sekali gus memberikan versi baru MyKad lebih kelebihan berbanding versi digunakan kini.

Selama dua tahun kementerian menjalankan pelbagai kajian bagi meningkatkan kualiti MyKad, terutama ciri keselamatannya melalui aplikasi imej turisan laser pada nama dan nombor pengenalan diri pemiliknya. Teknologi Jerman ini membolehkan pihak berkuasa mengenalpasti ketulenan dokumen itu (MyKad) dalam tempoh singkat tanpa pemeriksaan terperinci, malah dengan melihat sekali imbas saja.

Keputusan memperkenalkan MyKad baru adalah berikutan maklum balas terhadap rungutan orang ramai sebelum ini mengenai kualiti dokumen pengenalan diri itu yang didakwa mudah rosak, selain menjadi sasaran sindiket pemalsuan hingga dikhuatiri mengancam keselamatan negara.

MyKad terbaru ini menepati piawaian antarabangsa, terutama dari segi spesifikasi ketebalan, panjang, lebar dan kedudukan cip pintar digunakan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menetapkan standard lebih tinggi dari segi pengujian cip pintar dan keadaan fizikalnya.

Bagaimanapun, penggantian kepada MyKad baru tidak diwajibkan kepada pengguna MyKad sedia ada, tetapi menggalakkan orang ramai menggantikannya sebagai langkah keselamatan. Bagaimanapun, kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan ciri keselamatan MyKad terbaru itu untuk semua dokumen pengenalan apabila tiba masa sesuai.

No comments:

Post a Comment