Showing posts with label GAS ASLI. Show all posts
Showing posts with label GAS ASLI. Show all posts

Thursday, December 22, 2011

TELAGA MINYAK BARU DITEMUI DI SABAH

MALAYSIA memperoleh rizab minyak tambahan sebanyak kira-kira 227 juta tong susulan penemuan terbaru PETRONAS di kawasan luar pantai Sabah.

Setakat 1 Januari tahun ini, negara dianggarkan memiliki rizab minyak berjumlah 5.8 bilion tong yang hanya mampu bertahan untuk tempoh antara 18 hingga 20 tahun lagi.

Dengan penemuan terbaru oleh PETRONAS itu, ia mencadangkan kemungkinan wujudnya prospek bagi pertumbuhan pengeluaran di telaga minyak barunya yang mana syarikat minyak nasional itu kini turut membuat pelaburan yang besar bagi menyelesaikan masalah penyusutan pengeluaran di telaga minyak lamanya.

PETRONAS dalam kenyataannya semalam berkata, penemuan itu dibuat anak syarikat milik penuhnya, iaitu Petronas Carigali Sdn Bhd di telaga Wakid-1 dalam Blok 2G-2J, terletak kira-kira 100 kilometer di timur laut Kota Kinabalu.

Simpanan minyak itu ditemui ketika pasukan cari gali melakukan kerja pencarian dan penggerudian yang bermula pada 30 Mei hingga 4 Julai lalu.

Katanya, penggerudian secara menegak yang mencapai kedalaman 3,330 meter itu mengesahkan kehadiran simpanan minyak yang banyak selain kewujudan takungan gas. Tiga ujian pengeluaran telah dijalankan dalam tiga takungan berbeza yang mengalir minyak pada kadar maksimum membabitkan jumlah terkumpul sebanyak 8,200 tong sehari.

Berdasarkan anggaran awal, jumlah hidro karbon yang boleh dikeluarkan di kawasan penemuan ini adalah berjumlah 227 juta tong bersamaan minyak (mmboe) dengan potensi lebih banyak, katanya.

PETRONAS berkata, Petronas Carigali merancang untuk terus menilai potensi penemuan berkenaan dalam tempoh terdekat ini.

Wakid-1 adalah telaga kedua di Blok 2G-2J sejak Kontrak Perkongsian Pengeluarannya (PSC) diberikan pada Oktober 2010.

Telaga pertama blok itu, Tambuku-1, telah digerudi awal tahun ini tetapi hanya menunjukkan kehadiran penemuan gas yang kecil jumlahnya.

Petronas Carigali adalah pemegang ekuiti tunggal PSC bagi blok itu.

Dalam usaha menambahkan jumlah rizab minyak negara, PETRONAS, minggu lalu, turut mengumumkan kerjasama dengan Royal Dutch Shell membabitkan pelaburan bersama berjumlah AS$12 bilion (RM37.68 bilion) bagi membangunkan dua projek penemuan minyak dipertingkatkan (EOR) di luar pesisir Sarawak dan Sabah.

Kedua-dua projek dikenali sebagai Baram Delta dan North Sabah itu dijangka mampu menyumbang pertambahan pengeluaran antara 90,000 hingga 100,000 tong minyak sehari.

Sunday, July 31, 2011

PETRONAS TEMUI TELAGA GAS BARU

PETRONAS membuat dua penemuan penting gas asli di kawasan air cetek luar pantai barat Sabah, yang berpotensi meningkatkan lagi bekalan sumber itu bagi memenuhi permintaan domestik.

Malaysia adalah pengeksport gas asli cecair (LNG) kedua terbesar selepas Qatar pada 2009, namun jatuh ke tangga ketiga selepas Indonesia tahun lalu berikutan penurunan pengeluaran daripada lapangan gas yang uzur.

Sementara itu, peningkatan permintaan daripada loji tenaga turut menggugat jumlah eksport gas negara, justeru menyebabkan syarikat minyak nasional meningkatkan usaha untuk meningkatkan pengeluaran daripada lapangan domestik serta menambah pegangan dalam projek minyak dan gas di peringkat antarabangsa.

Awal minggu ini, PETRONAS juga telah memeterai perjanjian awal dengan Qatargas untuk membekalkan kepada syarikat itu 1.5 juta tan LNG setahun untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Perkara itu memberikan gambaran peralihan Malaysia daripada menjadi negara pengeksport bahan api itu kepada pengimport dalam usaha memenuhi permintaan loji tenaganya yang berkembang pada kadar enam peratus setahun.

Dalam satu kenyataan semalam, PETRONAS berkata penemuan pertama adalah di telaga Zuhai East-1, yang terletak di Blok Samarang Asam Paya, kira-kira 130 kilometer di barat daya Kota Kinabalu.

Anggaran semasa kandungan gas di kawasan itu adalah 550 bilion kaki padu standard (bscf).

Pada masa sama, katanya, satu takungan yang sama di telaga berdekatan kira-kira lima kilometer ke timur dari kawasan penemuan Zuhai East diuji mengandungi aliran gas pada kadar maksimum 21 juta bscf sehari.

PETRONAS Carigali ialah pemegang ekuiti tunggal kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Blok Samarang Asam Paya itu.

Sementara itu, penemuan kedua pula adalah di telaga Menggatal-1 ditemui di Blok SB312, kira-kira 110 kilometer ke timur laut Kota Kinabalu.

PSC Blok SB312 itu adalah usaha sama antara PETRONAS Carigali yang memegang ekuiti 60 peratus dan KUFPEC Malaysia (SB 312) Ltd, iaitu satu anak syarikat Kuwait Foreign Petroleum Exploration Co, yang memegang baki kepentingan.

Berita disunting daripada Berita Harian