Monday, September 24, 2012

BANGUNAN PINTAR


Oleh Azmi Ibrahim
Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) berjaya membangunkan bangunan berkonsepkan teknologi hijau, Platinum Sentral, yang turut menerima pengiktirafan sebagai bangunan pertama menerima pengiktirafan Platinum Hijau di Malaysia mengikut standard BCA Green Mark (Singapore) dan memenuhi piawaian Indeks Bangunan Hijau (Malaysia) pada Mei lalu. Platinum Sentral, yang terletak di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral), dibangunkan dengan nilai pelaburan kasar (GDV) mencecah RM650 juta. Bangunan tersebut memuatkan ruang pejabat dan perniagaan yang separuh daripadanya dimiliki SME Corp.
Dalam majlis perasmian Platinum Sentral di Kuala Lumpur, pada 26 Mei lalu pengerusinya, Tan Sri Azlan Zainol, menjelaskan bahawa projek Platinum Sentral merupakan bangunan Lot E yang dibangunkan mengikut perancangan pelan pembangunan MRCB.
Platinum Sentral juga merupakan bangunan pertama di Malaysia yang menggunakan inisiatif urbanisasi perkhidmatan Smart + Connected Real Estate (S+CRE) oleh Cisco dengan menawarkan beberapa aspek teknologi, meliputi pengumpulan data, video, sistem bangunan, kawasan, dan keselamatan serta teknologi automasi bangunan canggih.
“Saya percaya penggunaan sistem S+CRE di dalam Platinum Sentral menunjukkan bahawa kami sudah bersedia memperkenalkan model perniagaan baharu yang lebih kompetitif untuk bersaing dalam pasaran hartanah di Malaysia,” ujar Azlan.
Tambah beliau, kebanyakan bangunan di Malaysia hanya menawarkan tiga utiliti, iaitu bekalan elektrik, air dan gas. Perkhidmatan utiliti keempat, iaitu sistem S+CRE membolehkan MRCB merobah pembangunan hartanah ke arah yang lebih sistematik, moden, canggih dan hijau.
Tidak dinafikan bahawa sebahagian rakyat Malaysia masih janggal dengan perkataan bangunan hijau. Di Singapura, dalam tempoh 10 tahun lalu, pembinaan bangunan hijau menjadi keutamaan pihak pemaju hartanah. Sehingga 2008, sebanyak 80 peratus bangunan di Singapura dibina berdasarkan konsep bangunan hijau. Hal ini sekali gus menarik perhatian pasaran, khususnya dalam kalangan pelabur asing.
Bangunan hijau ialah bangunan yang mempraktikkan kepentingan alam semula jadi, bermula daripada lakaran pembinaan, operasi, selenggara sehingga peringkat pengubahsuaian. Teknologi hijau dibangunkan untuk mengurangkan kesan kepesatan pembangunan terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia. Lantaran itu, bangunan hijau memberikan tumpuan terhadap kecekapan penggunaan tenaga, air dan bahan mentah.

No comments:

Post a Comment