Tuesday, September 20, 2011

PENSWASTAAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL MENJAMIN MUTU PERKHIDMATAN DAN PELABURAN


muhyidin1

PUTRAJAYA, 19 Sept -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal pasti meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di negara ini ke tahap lebih cekap dan berkesan serta

mencapai piawaian peringkat global.
Timbalan Perdana Menteri berkata pendekatan itu membolehkan syarikat konsesi yang dilantik berani melabur secara besar-besaran bagi mendapatkan teknologi terkini, mesin dan kelengkapan moden serta tenaga kerja yang mahir, sekaligus menyediakan perkhidmatan yang efisien.
Katanya, melalui tempoh perjanjian selama 22 tahun ini, (sebagai contoh) mereka boleh mengambil langkah menambah bilangan jentera "compactor", yang digunakan, tenaga kerja yang terlatih, di samping menyediakan tong-tong sampah yang cukup. Dengan itu kita harapkan syarikat konsesi menjadi lebih efisien.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Konsesi dan Perjanjian Tiga Pihak antara Kerajaan Persekutuan dengan tiga syarikat konsesi sempena penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di sini hari ini.
Muhyiddin berkata peralihan tanggung jawab itu belum pernah berlaku di mana-mana negara. Tiga syarikat konsesi itu ialah Alam Flora Sdn Bhd yang menguruskan zon tengah dan timur, yang merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan, SWM Environment Sdn Bhd bagi zon selatan yang meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan serta Environment Idaman Sdn Bhd bagi menguruskan zon utara Kedah dan Perlis
Muhyiddin yakin tiga negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Perak akan turut menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) tidak lama lagi. Katanya, perjanjian baharu itu telah menamatkan episod suka duka syarikat konsesi berkenaan dalam mengharungi tempoh interim selama 14 tahun sebelum ini.
Sebelum ini, menurutnya, syarikat konsesi terbabit teragak-agak untuk melabur berjuta-juta ringgit untuk mengembangkan perkhidmatannya kerana tidak ada sebarang jaminan kukuh dari kerajaan. Perubahan ini dibuat mengambil kira pelbagai aspek yang menyeluruh, meliputi kerangka dasar, institusi, perundangan dan juga kepentingan rakyat. Kerjaan juga turut mengambil kira kemampuan kewangan yang terhad bagi kebanyakan PBT, untuk menguruskan sisa pepejal secara lebih berkesan.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal adalah komitmen kerajaan Malaysia secara sukarela untuk mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hujau, berdasarkan kepada "emissions intensity of GDP" sehingga 40 peratus menjelang 2020.
Dalam Rancangan Malaysia ke-sembilan (RMK9), katanya kerajaan telah membelanjakan RM958.7juta bagi menguruskan sisa pepejal, namun bagi 2010 sahaja, kerajaan terpaksa membelanjakan RM303 juta, iaitu hampir 1/3 dari jumlah keseluruhan bagi RMK9.
Katanya kos pengurusan sisa pepejal terus membebankan kerajaan memandangkan kuantiti sisa pepejal yang dihasilkan rakyat negara ini terus meningkat, iaitu 19,000 tan sehari bagi 2005 meningkat kepada 27,000 tan sehari sekarang. Beliau berkata keadaan itu menjadi lebih serius memandangkan kebanyakan tapak pelupusan sisa pepejal di negara ini bukan tapak pelupusan sanitari.
Katanya, daripada 166 tapak pelupusan yang sedang beroperasi sekarang, hanya lapan tapak sahaja yang merupakan tapak pelupusan sanitari. Dengan pengambilalihan tanggung jawab ini, kerajaan persekutuan berharap ia bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, malah dapat memberi ruang meningkatkan keupayaan bagi menerokai kaedah rawatan dan pelupusan berteknologi canggih, mesra alam dan berkesan kos.
Selain itu, beliau juga menyeru semua pihak supaya terus menggandakan pelbagai aktiviti untuk menjayakan 3R iaitu reduce (kurangkan), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula).
Berita disunting daripada sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment