Monday, August 1, 2011

KEMPEN AJAK RAKYAT AMAL HIDUP SIHAT


my-sihat

BANGSAR: Seramai 10,000 dijangka menyertai Karnival 10,000 Langkah Sehari MY Sihat, iaitu cabaran berjalan kaki 10,000 langkah sejauh 6.5 kilometer di Dataran Putrajaya, Presint 2, Putrajaya, pada Sabtu ini.

Program anjuran Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MY Sihat) dengan sokongan Berita Harian dan Kementerian Kesihatan juga diadakan di 13 lokasi di seluruh negara, iaitu Bentong di Pahang, Kuala Terengganu, Muar, Melaka, Seremban, Arau, Sungai Petani, Teluk Intan, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Bharu, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Pengerusi My Sihat, Toh Puan Dr Aishah Ong, berkata program unik itu adalah kesinambungan kepada kempen berjalan kaki 10,000 langkah sehari anjuran Kementerian Kesihatan tahun lalu bagi mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat Malaysia.

Program itu sejajar usaha kerajaan memerangi penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit jantung, obesiti dan diabetes yang semakin meningkat yang dikaitkan dengan amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat. Puratanya rakyat Malaysia hanya berjalan 2,000 langkah sehari dan itu tidak sihat. Berjalan kaki 10,000 langkah sehari membantu kita menangani masalah penyakit kronik.

Hadir sama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Ketua Pegawai Eksekutif MY Sihat, Dr Yahya Baba; dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali. Karnival terbahagi kepada lima segmen iaitu senaman dan sukan dengan cabaran berjalan kaki 10,000 langkah sehari menjadi indikator keseluruhan program.

Program yang akan bermula jam 7 pagi hingga 3 petang Sabtu ini akan dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Zainul Arifin berkata, sebagai kumpulan media cetak terbesar negara, NSTP sentiasa menyokong penganjuran program kesihatan seumpama itu.

Terdahulu, Aishah menerima borang penyertaan penduduk Putrajaya yang diwakili Pengerusi Persatuan Penduduk Putrajaya, Mohd Tahir Mohamad sebelum majlis dimeriahkan dengan persembahan senamrobik daripada tiga gadis cilik dari Jazzercise, iaitu senamrobik yang menggabungkan tarian Jazz, yoga dan kick boxing.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment