PUTRAJAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu menaik taraf Program Implan Koklear UKM menjadi pusat kecemerlangan berteraskan perkhidmatan rawatan implan koklear terkemuka pada peringkat global pada masa depan. |
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah ini juga membolehkan tenaga pakar terbabit berkongsi idea, kepakaran, hasil penyelidikan dan rahsia kejayaan mereka dalam pembedahan implan telinga dan terapi pertuturan dengan pakar di hospital, pusat rawatan dan universiti tempatan mahu pun dari luar negara.
Katanya berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-15 penubuhan Pasukan Implan Koklear UKM dan ulang tahun ke-10 Pusat Tutur UKM, perkara ini bukan suatu yang mustahil kerana difahamkan Pasukan Implan Koklear UKM sudah banyak kali terpilih menjadi perunding dalam penubuhan dan latihan untuk tenaga pakar di beberapa negara di rantau Asia termasuk Indonesia, Brunei, Vietnam dan Pakistan.
Gerak kerja ini juga salah satu inisiatif meningkatkan imej Malaysia sebagai negara memiliki kepakaran termoden dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Zulkifli A Hassan; Naib Canselor UKM, Tan Sri Prof Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Datuk Leela Ali.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, langkah ini selari dengan kejayaan Pasukan Implan Koklear UKM menjadi perintis rawatan koklear di Malaysia selepas berjaya melakukan pembedahan pertama terhadap Ang Boon Soo, 32, dari Kelantan, kira-kira 15 tahun lalu.
Berita disunting daripada sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment